5 Kerajaan Yang Wujud Di Dunia Tapi Tidak Pernah Diiktiraf Secara Rasmi!

Membentuk sebuah negara adalah satu proses yang sukar, kerana semua pihak baik daripada bakal pemerintah sehinggalah mereka yang berstatus rakyat perlu bersetuju untuk bersama-sama menghormati proses pembentukan sesebuah negara, sebelum negara itu dapat dibentuk.

Bagaimanapun, ada ketikanya sesebuah negara itu dibentuk tanpa persetujuan ramai sehingga menimbulkan masalah serta isu yang tidak dapat dielakkan, ekoran perbezaan pendapat yang wujud serta ketiadaan pengiktirafan daripada pihak luar – seperti pengiktirafan PBB kepada negara-negara yang ada.

Tahukah anda wujud beberapa negara tidak rasmi yang mempunyai latar belakang yang unik serta sejarah yang tersendiri akibat pelbagai masalah yang dihadapi semasa pembentukannya? Berikut adalah 5 negara yang wujud tetapi tidak diiktiraf oleh masyarakat dunia, kerana statusnya yang unik.

1. LAKOTAH

Pernah anda dengar tentang sebuah negara lain yang wujud dalam Amerika Syarikat? Lakotah adalah negara tersebut.

Lakotah pada awalnya adalah negara yang bakal ditubuhkan melalui perjanjian di antara kerajaan Amerika Syarikat dengan suku etnik Lakota, pada tahun 1868.

Kerajaan Amerika Syarikat membenarkan suku etnik Lakota memerintah sendiri kawasan seluas 200 ribu kilometer persegi termasuklah sebuah bukit yang digelarkan Black Hills yang menjadi kawasan keramat suku kaum Sioux Lakota.

Bagaimanapun, selepas emas ditemui di kawasan tersebut, kerajaan Amerika Syarikat melanggar perjanjian yang telah mereka persetujui dan mula menceroboh kawasan Lakota bagi memastikan pembukaan lombong-lombong emas di sana rancak. Persetujuan yang telah pun dipegang, dilupakan sebegitu saja.

Pada tahun 1998, Mahkamah Tinggi Amerika Syarikat memerintahkan kerajaan Amerika Syarikat membayar pampasan USD600 juta kepada penduduk Lakotah kerana melanggar perjanjian, namun ditolak penduduk atas dasar maruah. Penduduk Lakotah percaya, sekiranya mereka menerima tawaran tersebut, mereka seolah bersetuju untuk memadam impin memiliki negara sendiri.

Pada tahun 2007, delegasi daripada pemimpin Lakota sekali lagi menghantar permohonan kemerdekaan daripada kerajaan Amerika Syarikat. Sehingga kini perkara ini belum selesai.

Tahukah anda, Mount Rushmore yang terkenal terletak dalam kawasan yang menjadi pertikaian ini?

2. HUTT RIVER

Tahukah anda, di dalam Australia terdapat sebuah negara lain tidak rasmi bernama Hutt River?

Hutt River adalah sebuah negara kecil yang mengisytiharkan kemerdekaan daripada kerajaan Australia pada tahun 1970. Mempunyai keluasan 75 km per segi, Hutt River atau nama penuhnya, Principality of Hutt River diasaskan oleh HRH Prince Leonard Casley, seorang petani yang mahu memerintah sendiri jajahannya.

Hutt River mempunyai sistem kewangan mereka sendiri, passport dan setem. Golongan di-Raja Hutt River bebas memberikan darjah kebesaran pada sesiapa yang dirasakan layak.

Sejarah Hutt River bermula selepas kerajaan Australia mengenakan kuota penjualan ke atas pengeluaran gandum di ladang sekitar Sungai Hutt.

Ekoran beberapa insiden pertelingkahan di antara kumpulan penduduk dengan kerajaan Australia, Leonard mengambil jalan mengumumkan keluarnya mereka daripada pentadbiran kerajaan Australia lalu berhenti membayar cukai. Dia kemudiannya atas persetujuan penduduk kampung, melantik dirinya sebagai Raja Hutt River.

Tidak diiktiraf kerajaan Australia sehingga kini, pada tahun 2017 Raja Leonard mengumumkan perlantikan anaknya Putera Graeme sebagai pemangku takhta kerajaan Hutt River yang mempunyai populasi 23 orang penduduk tetap.

3. BAROTSELAND

Barotseland adalah sebuah negara yang unik.

Ini kerana negara ini mempunyai pusat pemerintahan yang bergerak mengikut musim. Terletak di dalam negara Zambia, setiap kali air Sungai Zambezi naik, penduduk Barotseland akan berpindah ke tanah yang lebih tinggi dalam upacara perpindahan yang menjadi ritual mereka setiap tahun.

Sejarah Barotseland berpunca daripada campur tangan British. Diberikan kuasa autonomi pemerintahan semasa zaman kolonial British, Barotseland diiktiraf sebagai sebuah negara bebas pada mulanya.

Sehinggalah pada tahun 1964, apabila Zambia mencapai kemerdekaan mereka. Barotseland hilang kuasa autonomi dan seterusnya ditadbir terus oleh kerajaan Zambia, ekoran keputusan mahkamah yang menganggap perjanjian awal di antara pemimpin Barotseland dengan British terbatal.

Persengketaan di antara pemimpin Barotseland dengan kerajaan Zambia masih lagi berterusan, dengan pelbagai rundingan damai dalam mencari kata putus gagal.

4. REPUBLIK MURRAWARRI

Kembali ke Australia, pada tahun 2013 sebuah kawasan yang bersempadan dengan New South Wales dan Queensland mengisytiharkan kemerdekaan mereka daripada kerajaan Australia.

Murrawarri adalah sebuah negara tidak rasmi yang dibentuk daripada satu suku kaum asal di Australia yang mempunyai 4000 orang warganegara. Murrawarri mengisytiharkan kemerdekaan negara mereka pada 3 April 2013 melalui satu kenyataan yang dihantarkan terus kepada Permaisuri England.

Dalam kenyataan mereka, mereka mencabar kerajaan Britain untuk membuktikan kawasan penempatan mereka tertakluk kepada sistem pemerintahan monarki British yang masih dikekalkan di Australia, dengan notis 28 hari diberikan kepada kerajaan Britain.

Sekiranya kerajaan Britain gagal berbuat demikian, kerajaan Murrawarri akan memulakan proses permohonan dengan PBB dalam mengiktiraf mereka sebagai sebuah negara berdaulat.

Kerajaan British tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap kenyataan mereka dan pada 12 Mei 2013, permohonan mereka kepada PBB dilakukan. Kerajaan Australia mengumumkan tiada keperluan sebarang jawapan atau maklum balas perlu dilakukan, kerana penubuhan kerajaan Murrawarri tidak mematuhi sebarang undang-undang Australia.

5. RYUKYU

Kerajaan Ryukyu adalah sebuah kerajaan yang mentadbir pulau-pulau Ryukyu sejak kurun ke 14 hinggalah kurun ke 19. Terdiri daripada 160 buah pulau yang terletak di laut Pasifik, seramai 1.4 juta orang penduduk tinggal di sini.

Sejarahnya, pada tahun 1879, kerajaan Jepun mula mengambil alih pemerintahan kawasan Ryukyu sebagai salah satu koloni mereka. Nasib penduduk Ryukyu bertambah malang. Selepas dijajah oleh Jepun dan tewasnya kerajaan Jepun, pulau Ryukyu diserahkan kepada pemerintahan tentera Amerika Syarikat selepas perang Pasifik.

Tentera Amerika menggunakan kekerasan bagi merampas tanah penduduk di sana dan bertindak menghalau penduduk, bagi membolehkan mereka mendirikan markas tentera.

Pada tahun 1972 kerajaaan Amerika memulangkan semula Ryukyu kepada kerajaan Jepun dengan beberapa syarat dikenakan. Sehingga kini, Pulau Ryukyu menjadi markas tentera Amerika Syarikat di Jepun,

Pada tahun 2015, delegasi pemimpin masyarakat Ryukyu mendedahkan bukti-bukti yang sepatutnya menjelaskan status Ryukyu sebagai sebuah negara berdaulat. Beberapa dokumen membuktikan pendudukan Jepun di Ryukyu adalah melanggar hak undang-undang antarabangsa yang termaktub dalam Perjanjian Konvensyen Vienna.

Ini adalah hujah yang dijadikan penyokong kepada mereka yang mahu mengembalikan semula pemerintahan negara berdaulat Ryukyu.

Delegasi itu juga memohon kerjasama kerajaan Jepun supaya memulangkan semula dokumen perjanjian di antara kerajaan Rykyu dengan kerajaan Amerika Syarikat, Perancis dan Belanda pada tahun 1850, yang secara jelas menyatakan kedudukan asal kerajaan dan negara yang bernama Ryukyu itu satu masa dulu.

Penduduk kepulauan tersebut menghadapi banyak masalah ekoran kewujudan markas tentera Amerika Syarikat dengan kes rogol melibatkan penduduk tempatan oleh anggota tentera Amerika, kerap berlaku tanpa kawalan.

Sumber – Iluminasi

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *