Kanak-Kanak 3 Tahun Hilang Dan Hanya Dijumpai Setelah 20 Jam Misi Pencarian Berlaku!

Menjaga anak kecil merupakan perkara yang amat susah untuk dilakukan. Kalau boleh, kita tidak mahu sebarang perkara buruk terjadi kepada mereka sekiranya dibiarkan bermain di luar. Tetapi, jika difikirkan semula, tidak mungkin kita mahu membiarkan anak terkurung di dalam rumah sahaja? Nanti apabila sudah dewasa, menjadi seperti ‘katak di bawah tempurung’ pula.

Namun, kisah yang akan diceritakan ini mungkin akan menakutkan para ibu bapa di luar sana untuk membiarkan anak masing-masing bermain di luar walaupun di bawah pengawasan orang dewasa.

Dyton Logalbo, tiga tahun sedang bermain di taman sambil diperhatikan oleh ibu kandungnya yang sedang berkebun. Namun, dalam sekelip mata, Dyton hilang dari pandangan ibunya setelah dia memasuki sebuah ladang jagung berdekatan rumah mereka.

Peristiwa yang sepatutnya menjadi waktu bersantai sekeluarga bertukar menjadi misi pencarian kanak-kanak tersebut.

Ibunya puas memanggil nama anak itu namun tiada sahutan. Mereka cuba untuk mengesan jejak kaki Dyton tetapi tidak berjaya. Dia cuba mencari di segenap pelusuk ladang jagung itu sambil berteriak memanggil nama Dyton.

Dalam keadaan panik, dia terus menghubungi pihak polis dan memaklumkan mengenai kehilangan anaknya. Pasukan polis lantas melancarkan misi mencari Dyton di kawasan berhampiran.

Selain polis, anggota bomba, anjing pengesan, dua buah helikopter dan perkhidmatan dron turut digunakan dalam operasi mencari anak kecil itu. Setelah beberapa jam, Dyton masih lagi hilang dari radar dan berita mengenai kehilangannya tersebar meluas.

Orang ramai yang prihatin dengan kejadian itu turut menghulurkan bantuan dalam mencari Dyton. Dikatakan hampir 600 sukarelawan menyertai misi pencarian berkenaan dan memeriksa seluruh ladang jagung yang tebal dan tinggi itu.

Selepas kira-kira 20 jam Dyton dilaporkan hilang, mereka akhirnya berjaya menemui anak itu. Namun, adakah penemuan ini membawa khabar yang menggembirakan atau menyedihkan?

Salah seorang sukarelawan didapati melihat sepasang kaki kecil di kawasan belukar. Apabila lelaki yang dikenali sebagai Tom Andraschko itu melihat dengan lebih dekat, dia akhirnya menemui individu yang mereka cari selama sehari itu!

Menurut Tom, Dyton ditemui duduk berseorangan dalam keadaan ketakutan.

“Saya gembira dia selamat dan tidak apa-apa. Dia cuma ketakutan. Sangat takut,” ujar Tom kepada Washington Post.

Sejurus ditemui, Dyton segera diberikan air dan makanan sebelum dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan. Selepas hampir sehari keseorangan dan kelaparan serta berada dalam keadaan dingin malam tanpa perlindungan, ramai orang bersyukur kerana anak ini selamat.

Mimpi ngeri buat keluarga Logalbo ini harus dijadikan pengajaran buat kita semua. Jangan sesekali membiarkan anak bermain sendirian walaupun di bawah pengawasan orang dewasa. Temanlah mereka bermain bersama-sama kerana ia lebih selamat.

Jika berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini, sekurang-kurangnya anda berada di sana untuk memberikan pertolongan segera.

Sumber –Gedebak Viral

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *