Botak Chin, Kisah Penjenayah Kejam Terkenal Yang Ramai Masih Tak Dapat Lupakan.

Posting ini bukanlah bertujuan untuk mengagungkan penjenayah kejam yang bernama Botak Chin, tetapi hanya sekadar sebagai iktibar dan pedoman pada generasi kini yang mungkin tidak tahu tentang kisah siri jenayah yang dilakukannya. Mungkin juga ada yang masih belum dilahirkan lagi…

Nama Botak Chin pernah menimbulkan rasa risau dikalangan rakyat Malaysia disekitar 1970an. Sehingga kini masyarakat tidak boleh melupakannya, bukan disebabkan kebaikannya tetapi ia lebih kepada jenayah yang dilakukannya ketika itu. Antara jenayah yang dilakukan adalah menculik, merompak, peras ugut dan membunuh.

Wong Swee Chin atau lebih terkenal sebagai ‘Botak Chin’ lahir 1951 di Kuala Lumpur, adalah seorang penjenayah terkenal di Malaysia. Asalnya gelaran ‘Botak Chin’ itu diberikan oleh kumpulan Geng 360 yang rata-ratanya berusia bawah 20an. Gelaran itu membawa maksud di dalam bahasa Hokkien: ‘BO’ bererti ‘TIADA’, dan ‘TAK’ bererti ‘KERJA’. Bermaksud ‘TIADA KERJA’. Manakala ‘CHIN’ itu adalah namanya sendiri. Apabila digabungkan gelaran itu menjadi ‘BOTAK CHIN’.

Kehidupan Awal

Botak Chin dilahirkan dalam sebuah keluarga yang mempunyai 10 beradik di Kuala Lumpur pada tahun 1951. Bapanya ialah pesara jabatan kereta api yang menghantarnya ke sekolah rendah jenis kebangsaan Cina di Sentul Pasar dan kemudian ke sebuah sekolah Inggeris.

Hasrat orang tuanya untuk melihat anaknya berjaya tidak kesampaian kerana Botak Chin tidak berminat lagi untuk belajar. Dia berhenti sekolah pada usia 15 tahun dan bekerja sebagai pembantu di pasar borong Jalan Tun Ismail selama setahun. Bermula dari sinilah, Botak Chin terpengaruh dengan kegiatan jenayah dan menyertai kongsi gelap Geng 360 yang menguasai kawasan itu.

Selepas ibunya meninggal dunia, dia lebih suka tinggal di rumah kawan-kawannya dan terbabit dalam jenayah kecil-kecilan seperti mencuri. Kagum dengan kehebatan rakannya sebagai gangster, dia berpakat bersama tiga rakannya (dua daripada mereka memiliki pistol) melakukan rompakan pertamanya pada 19 April 1969.

‘Robin Hood’ Malaysia

Ada yang mengelarkannya sebagai ‘Robin Hood’, kerana beliau sering mengagihkan wang hasil rompakannya kepada orang ramai. Hampir 30 siri rompakan bernilai ratusan ribu ringgit dilakukan bersama kumpulannya.

Menurut khabarnya, dihari perayaan Deepavali, Botak Chin pernah memberikan wang kepada beberapa orang India untuk memeriahkan lagi perayaan mereka. Begitu juga apabila tibanya sambutan Tahun Baru Cina, Botak Chin akan mengetuk rumah-rumah disekitar Sentul dan memberikan mereka wang untuk buat perbelanjan. Malah apabila tibanya musim baru sekolah akan dibuka semula, beliau juga tidak lokek untuk menghulurkan bantuan wang untuk persediaan persekolahan buat kanak-kanak, kerana kehidupan masyarakat disitu bukanlah golongan orang yang senang.

Kediaman Botak Chin tidak terhad, menurut beberapa kenalan yang mengenalinya, beliau pernah menyewa sebuah bilik di sekitar Chow Kit, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. Tetapi hanya menggunakan beberapa kali sahaja dan jarang dilihat. Apabila beliau sesekali pulang ke biliknya itu, beliau mengajak beberapa jirannya disitu untuk menjamu selera di Restoran KFC yang masih baru lagi diperkenalkan di Malaysia.

Tidak cukup dengan itu diberikan lagi wang saku. Pernah juga mereka bertanya tentang pekerjaannya yang dilihat agak mewah.

Botak Chin hanya berkata “Jangan buat kerja jahat, tak baik”.

Dengan sikap baik hatinya itu, kedatangan Botak Chin sentiasa ditunggu oleh mereka yang tidak tahu bahawa sosok itu adalah seorang penjenayah kejam yang pernah terlahir di Malaysia.

Botak Chin Tubuhkan Geng sendiri

Botak Chin kemudian memiliki senjata pertamanya revolver .22 lalu menubuhkan gengnya sendiri dan melakukan lapan rompakan pada September 1969. Kegiatan itu berjaya ditumpaskan. Botak Chin ditahan dan dihukum 7 tahun penjara, tetapi dibebaskan pada November 1974.

Dia berusaha mencuba menjadi seperti orang lain, tetapi pendapatan sebagai penjual sayur tidak memuaskan hatinya dan tidak hidup mewah. Pada April 1975, Botak Chin kembali aktif dengan menubuhkan geng baru yang dianggotai Ng Cheng Wong (Ah Wong), Beh Kok Chin (Pangkor Chin) dan Teh Bok Lay (Seh Chai).

Sebulan kemudian, Botak Chin pergi ke Thailand dan dengan bantuan rakannya, dia membeli senjata api. Botak Chin tidak menunggu lama dan pada 2 Jun, sebuah pusat perjudian haram di Sentul dirompak dan berhasil RM5,800. Dengan duit itu, dia pergi lagi ke Thailand membeli lapan senjata api, menjadikan kesemuanya sebanyak 11 serta 100 butir peluru.

Untuk memahirkan diri dengan penguasaan pengendalian senjata api, Botak Chin ke kawasan lombong tinggal di Kepong yang menjadi medan dia berlatih menembak dengan menjadikan anjing liar sebagai antara sasaran tembakan. Botak Chin berasa cukup hebat dan secara terang-terangan mempamerkan senjata apinya di pasar Sentul. Orang yang melihat tidak berani berkata apa-apa kerana takut menjadi mangsa balas dendam.

Pada 20 Julai, sebuah bank di Jalan Imbi menjadi sasaran rompakan dan RM95,000 berjaya dilarikan. Dengan RM25,000 sebagai bahagiannya, Botak Chin membeli sebuah kereta Datsun dan melalui rakannya, dia membayar RM3,600 sebagai deposit. Tetapi tidak diketahui sama ada dia membayar ansuran bulanan selepas itu.

Tidak lama selepas itu, sebuah kuil Cina di Jalan Kolam Ayer kemudian menjadi sasaran berikutnya. Beberapa pemain mahjung dirompak RM10,000 selain barang kemas dan barang berharga lain.

Kesukaran mendapatkan senjata api baru menyebabkan Botak Chin menjadikan anggota polis sebagai sasaran. Dia merampas tiga pistol milik tiga anggota polis dan ketika merompak sebuah bar di Sentul, merampas senjata api pengawal keselamatan. Ketika merompak Kelab Kereta Api Sentul selepas itu, dia mencabar sesiapa di situ untuk beradu kehandalan menembak ala-ala koboi.

Pasukan polis terus memburunya dan pada September, polis mengesan kereta Alfa Romeo curi yang dinaiki Botak Chin dan anggotanya di Segambut Dalam. Selepas dikejar sejauh 3.2 kilometer dan dihujani tembakan polis, kereta itu berhenti dan Botak Chin segera menyelinap di kawasan setinggan di situ. Dalam keadaan kelam kabut, mereka tertinggal sepucuk .38 revolver. Botak Chin bersama anggotanya, termasuk seorang yang cedera ditembak berjaya melepaskan diri dengan merampas sebuah kereta Volvo milik seorang pegawai bank.

Pada 25 September, orang kanannya, Chau Kuan (Ah Kuan) ditembak mati di sebuah kedai runcit di Jalan Kovil Hilir, tetapi ini tidak menghalang dia terus melakukan kegiatan rompakan.

Rompakan terbesar ialah pada 26 Oktober 1975. Dia merampas RM218,000 selepas menembak pengawal keselamatan yang membawa wang di Kelab Lumba Kuda. Hasil agihan sebanyak RM40,000, Botak Chin pergi lagi ke Thailand membeli senjata api menjadikannya memiliki 19 senjata api, lima bom tangan dan kira-kira 1,000 peluru.

Bagaimanapun, kedudukan Botak Chin sebagai ketua mula terancam apabila ada yang cuba mencabarnya. Dia bertindak cepat dan beberapa hari kemudian, Tua Pui Lek (ketua geng Lima Jari Gunung) dan anggota gengnya sendiri, Ah Wong, ditemui mati ditembak di kawasan lombong tinggal di Jinjang. Seorang lagi orang kanannya, Seh Chai, pula mati membunuh diri selepas dikepung polis di Jalan Alor.

‘Chemistry’ Antara S Kulasingam dan Botak Chin

Pihak polis mula giat untuk menjejakinya dengan lebih agresif, maklumat dari orang ramai juga dijadikan panduan. Ketika itu operasi lebih tertumpu disekitar Kuala Lumpur. Bekas Ketua Siasatan Jenayah KL, Mendiang S Kulasingam antara pegawai polis yang ditugaskan untuk menangkap Botak Chin ketika itu. Beliau juga seorang pegawai polis yang tidak kenal erti penat lelah dalam menyelesaikan misinya. Setiap gerakan Botak Chin diekori dengan teliti, semakin Botak Chin berani melakukan jenayahnya, semakin giat pihak polis menjejakinya, semua ini diatur oleh S Kulasingam.

Akibat tidak puas hati Botak Chin pada S Kulasingam, Botak Chin berani bertindak diluar batasan. Pada malam 22 November 1975, Botak Chin cuba membunuh S Kulasinggam. Kereta yang dinaiki S Kulasingam ditembak bertalu-talu di persimpangan lampu isyarat Jalan Davies, Pekeliling, Kuala Lumpur. Dalam keadaan cedera parah itu, bagaimanapun S Kulasingam terselamat dari maut.

Awal tahun 1976, Botak Chin mengambil anggota baru, diikuti tiga rompakan dengan wang yang dilarikan kira-kira RM400,000. Pada masa sama, tujuh orangnya mati ditembak selain ada yang ditangkap. Polis juga merampas 15 senjata api, peluru dan bom. Seterusnya selepas perancangan rapi polis, akhirnya Botak Chin sendiri terjerat pada malam 16 Februari 1976.

Pertempuran Botak Chin dan Polis

Ketua Polis Kuala Lumpur membentuk satu pasukan khas seramai 12 orang untuk menghentikan kegiatan penjenayah muda ini. Antara yang terlibat adalah Gilbert Ang dan Kenny Woodworth, mereka ini diantara pegawai polis yang terbaik di waktu itu.

Setelah 14 hari, akhirnya Botak Chin dikesan berada di sebuah kilang papan di Jalan Ipoh, pasukan khas bersedia untuk melakukan serbuan. Pada jam 8.00 malam mereka mengesan Botak Chin berada di dalam pejabat kilang papan itu. Kira-kira jam 10.00 malam kilang papan diserbu. Pasukan Gilbert menyerbu ke pejabat bahagian hadapan, manakala pasukan Kenny di bahagian belakang.

Pangkor Chin dan Yew Fook Hin telah ditembak mati manakala Chan Sai Mook @ Sakai didapati cedera parah akibat terkena tembakan. Setelah 2 jam adengan tembak menembak ini menemui noktah. Namun kelibat Botak Chin tidak kelihatan. Pihak polis menggunakan gas pemedih mata, setelah reda, pihak polis menyerbu ke dalam pejabat itu dan menemui Botak Chin cedera parah akibat terkena tembakan di kedua-dua tangan dan kakinya, tetapi masih lagi hidup. Dalam keadaan parah itu, Botak Chin sempat lagi memberi amaran “Kenny, kalau tangan saya tidak jem, saya sudah tembak lu”

Botak Chin Dibicarakan

Tidak lama selepas kejadian itu Botak Chin dihadapkan ke Mahkamah atas tiga pertuduhan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana memiliki beberapa senjata api, peluru dan bom tangan secara haram.

Botak Chin telah mengaku bersalah dan tidak mahu dibela oleh mana-mana peguam. Namun Mahkamah tidak membenarkan dan telah melantik Jagjit Singh menjadi peguam Botak Chin. Botak Chin akur dengan keputusan itu.

Mahkamah juga menasihatkan supaya Botak Chin menjalani rawatan pemeriksaan sakit jiwa. Hasil pemeriksaan Doktor mendapati Botak Chin dalam keadaan yang waras.

Botak Chin dibicara semula pada 1 April 1980 dan ketika inilah dia mendakwa sebagai Robin Hood moden, merompak orang kaya untuk menolong orang miskin. Ada juga yang berpendapat bahawa namanya ‘Botak’ Chin sebenarnya merupakan akronim untuk “Bantu Orang Tak Ada Kerja”. Menurut pakar psikiatri dan bekas pengarah Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK) Tan Sri Dr M. Mahadevan, Botak Chin merupakan seorang jenius sesat (“Misguided genius”). Inilah kesimpulan beliau setelah menjalankan pemeriksaan kesihatan mental untuk menentukan sama ada Botak Chin cukup waras untuk dibicara di mahkamah.

Botak Chin akhirnya didapati bersalah pada 16 Mei 1980 dan rayuannya kepada Mahkamah Persekutuan ditolak pada 23 September. Rayuan kepada Lembaga Pengampunan juga ditolak. Ketika menunggu dihukum gantung, dua kali Botak Chin menyerang pegawai penjara.

Ketika berusia 28 tahun, riwayat Botak Chin sebagai penjenayah ganas dan kejam berakhir di tali gantung di Penjara Pudu pada 11 Jun 1981. Ironinya ialah Botak Chin akhirnya dijatuhkan hukuman gantung sampai mati sebab memiliki senjata api, dan bukan atas tuduhan bunuh.

Sumber: bolebro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *