NAK BELI KERETA TERPAKAI TAPI TAKUT TERBELI ‘KERETA BANJIR’….INI CARA MUDAH UNTUK KENALI ‘KERETA BANJIR’!!!

Sebagai sebuah negara tropikal, cuaca yang tidak menentu sudah menjadi kebiasaan di negara kita dan ada kalanya bencana besar juga boleh terjadi dan memberi kesan kepada orang ramai. Bagi seseorang yang ingin membeli kenderaan terpakai, mereka akan terdedah dengan penawaran kenderaan yang terkesan akibat banjir apabila banjir sudah surut, tidak kiralah yang sekejap mahupun lama.

Sudah tentu, penjual kenderaan terpakai akan cuba sebaik mungkin untuk menyembunyikan kesan banjir dengan mencuci serta membaiki benda yang secara terang menunjukkan kesannya, tetapi setelah beberapa lama, masalah lain mungkin akan timbul apabila memiliki kenderaan yang pernah tenggelam dalam banjir ini, terutamanya sistem elektronik. Jika anda bercadang untuk membeli kenderaan terpakai, di sini kami nyatakan beberapa cara mengesan kenderaan ini seperti yang dicadangkan oleh edmunds.com.

Waspada dengan bau yang tidak menyenangkan – Bau hapak atau masam boleh terhasil daripada bahagian yang sudah pernah basah buat masa yang lama dan tidak boleh dibersihkan. Hati-hati juga dengan pewangi kereta yang diletakkan untuk menghilangkan bau tersebut. Pasang pendingin hawa jika ada bau tersebut.

Perhati warna karpet yang tidak sekata – Lihat atau selak jika perlu, dan jika terdapat kesan warna yang berbeza antara bahagian yang tinggi dan rendah pada karpet kenderaan, ia mungkin menunjukkan kehadiran air yang bertakung. Walaubagaimanapun, ada juga penjual yang menukar keseluruhan karpet untuk menyembunyikannya.

Periksa bahagian luar – Biasanya bagi bahagian-bahagian badan tertentu, anda boleh melihat kesan kuning akibat air bertakung, contohnya pada lampu, ruang enjin mahupun but belakang.

Periksa bahagian bawah kenderaan – Cuba cari tanda karat atau besi mengelupas yang sepatutnya tidak ada pada kenderaan yang agak baru.

Tengok kesan kumpulan kotoran di tempat yang tidak sepatutnya – Ini termasuklah bahagian seperti landasan pelaras tempat duduk dan karpet di belakang atau bawah papan pemuka. Jangan lupa juga bahagian enjin.

Anda mungkin boleh terperdaya dengan harga murah, di bawah paras biasa pasaran dan melihatnya sebagai peluang yang perlu disambar. Tetapi, apa yang terjadi selepas membeli kenderaan kesan banjir ini boleh menyusahkan dan memakan kos yang lebih dari jangkaan.

Sumber: Careta

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *