‘Kami tidak perlu menang untuk buktikan siapa raja’

“KAMI tidak perlu untuk memenangi Piala Malaysia untuk menjadi raja bola sepak tanah air,” demikian kata Pengarah Sukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Alistair Edwards.

Menurutnya, kami (JDT) telah memenangi lapan piala dalam waktu empat tahun setengah.

“Kami telah mencipta sejarah demi sejarah. Kami menjadi kelab pertama dalam negara bukan sahaja memenangi liga untuk tiga tahun berturut-turut tetapi empat tahun berturut-turut.

“Selain itu, kami juga telah melakar sejarah dalam peringkat antarabangsa apabila menjadi kelab pertama dalam negara melepasi peringkat separuh akhir Piala AFC sekaligus memenangi Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan juga telah bermain sebanyak tiga kali berturut-turut di peringkat kelayakan kejohanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di mana tiada kelab dalam negara yang mampu melakukannya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di laman Facebook Johor Southern Tigers, hari ini.

Katanya, dengan projek yang dilakukan serta kejayaan di dalam dan luar padang, ia telah membuktikan kepada dunia luar yang lebih memberi pengiktirafan kepada kami berbanding di dalam negara sendiri.

“Jadi, kami tidak perlu membuktikan siapa raja bola sepak tanah air kerana negara-negara dan pihak-pihak luar tahu siapa raja bola sepak tanah air yang sebenar,” katanya.

JDT bakal berdepan juara bertahan Piala Malaysia, Kedah FA di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Sumber: Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *