Masih Ingatkah Anda Pada Tragedi Telur Ikan Kurau Yang Mengorbankan 5 Beradik Pada 1974

Sejarah tentang salah satu kubur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Lintang, Melaka menjadi tular baru-baru ini.

Laporan Sinar Harian menyatakan, ia berikutan papan tanda yang tertulis, ‘Kubur lima beradik mangsa telur ikan kurau’ yang mempunyai 10 batu nisan.

Dalam kejadian 43 tahun lepas, Noraini Kassim, 11, Mohd Syukur, 8, Rohana, 6, Hijrah, 4, dan Norasyikin, 3, tidak sedarkan diri sebelum meninggal dunia selepas menikmati lauk asam pedas telur ikan kurau sebagai hidangan tengah hari.

Menceritakannya kejadian menyayat hati yang berlaku pada I Disember 1974 itu semula adalah adik kepada semua mangsa, Makmor Kassim, 43.

“Saya tidak berapa ingat sangat kejadian itu kerana baru berusia enam bulan. Tetapi dari apa yang diceritakan ayah dan emak, ia benar-benar menggemparkan masyarakat pada masa itu.

“Kejadian itu sukar untuk kami adik-beradik lain lupakan apatah lagi emak. Dia selalu sebak bila kisah keluarga kami ini disebut kembali. Mana ada ibu bapa yang tidak sedih apabila hilang lima anak sekali dalam satu masa,” katanya.

Tambahnya lagi, ia berpunca dari telur ikan yang dikatakan beracun.

“Ada 11 ahli keluarga kesemuanya terlibat, termasuk beberapa mak saudara berhampiran yang makan asam pedas telur ikan itu. Malangnya, lima adik-beradik saya meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri. Yang lain menerima rawatan di hospital.”

Selepas kehilangan lima anak, pasangan suami isteri tersebut dikurniakan dengan lima anak lain yang lahir selepas itu. “Bagaimanapun ayah sudah meninggal dunia kira-kira 15 tahun lalu. Emak pula sudah uzur dan kini sudah berusia 76 tahun,” katanya.

Buat Makmor Kassim, 43, kisah menyayat hati ini masih terpahat kukuh di mindanya meskipun dia masih lagi kecil ketika kejadian tersebut berlaku. Lima daripada adik beradiknya telah meninggal dunia selepas memakan masakan telur ikan kurau pada 1 Disember 1974 lalu.

Dia yang kini bertugas di Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) merupakan adik bongsu kepada lima orang adik beradik yang meninggal dunia itu.

Makmor berkata, meskipun kejadian itu sudah lama berlalu, tetapi ia tidak pernah terpadam di dalam ingatannya.

“Peristiwa itu lama, tapi bila saya meningkat dewasa, orang kampung masih ramai yang memanggil nama saya dengan nama Syukur. Sama dengan nama arwah abang, mungkin rupa saya ada iras-iras arwah.

“Selalulah juga saya jelaskan pada mereka, nama saya Makmor. Syukur itu nama abang saya.

“Sebagai tanda ingatan buat arwah abang dan kakak, saya beri nama anak saya yang berusia tiga tahun dengan nama Syukur. Anak perempuan yang berusia setahun sembilan bulan saya namakan Hijrah. Sebab saya tidak mahu nama mereka luput dalam ingatan,” katanya.

Makmor bagaimanapun berkata, ayah dan emak tetap menerima reda dengan ketentuan Allah.

Sumber – Moh Sembang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *