Saya Personal Trainer Dan Ini 5 Kenyataan Penjual Suplemen Kurus Yang Sangat Membongak!!

Siapa tak suka kurus, lebih-lebih lagi kaum hawa. Dah menjadi obses bagi sesetengah orang untuk jadi kurus dan slim. Apatah lagi zaman media sosial ini dimana semua berlumba-lumba nak tayang kecantikan badan masing-masing kat Facebook dan Instragram. Ini membuatkan mereka sanggup buat apa saja untuk jadi kurus. Secara tak langsung membuatkan banyak produk suplemen menguruskan badan dikeluarkan berada di pasaran seperti cendawan tumbuh lepas hujan. Sebab apa? Sebab terlalu banyak permintaan. Dan disebabkan ramai yang terdesak nak kurus cepat, kalau boleh hari ini makan suplemen, esok dah nak kurus, pengeluar dan penjual pun mengambil kesempatan dengan menjanjikan janji-janji palsu yang tak masuk akal.

Kalau pil boleh terima lagi walaupun tipu, tapi ada juga losyen. Sapu-sapu je, insyaAllah kurus. Amboi, senang je guna ayat insyaAllah ye akak. Yang peliknya, bukan orang tak bijak percaya janji palsu ni, tapi orang belajar tinggi. Peguam, manager, jurutera dan doktor pun ada yang percaya. Sebab apa? Sebab MALAS. Lagi sedih, produk-produk ini diiklankan secara meluas sampai masuk dalam TV. Tiada siapa pun yang ambil kisah mitos suplemen kurus ini. Bukan nak menyalahkan, tetapi kurangnya kesedaran oleh pengguna tentang perkara ini dan juga kesempatan yang diambil oleh mereka yang tergilakan duit sehingga sanggup mengelirukan dan menipu pengguna merupakan faktor terbesar dalam hal ini.

Penipuan #1 : Tak perlu diet pun boleh kurus

Ini cara marketing paling berkesan antara semua! Beritahu je yang ambil pil atau losyen ni korang tak perlu diet, berpusu-pusu orang beli, terutamanya perempuan. Semuanya adalah penipuan terbesar secara terang-terangan. Tolong jangan percaya. Pengeluar suplemen ini mahukan korang percaya bahawa dengan hanya makan pil atau sapu losyen, lemak-lemak korang boleh cair begitu sahaja. Tak semudah itu. Lemak takkan cair dengan hanya makan supplemen atau sapu losyen. Korang hanya boleh kurus atau slim dengan jaga makan dan senam. Lemak akan “dibakar” dengan bersenam. Aku tak pernah dengar atau menjadi saksi orang jadi kurus atau slim hanya dengan suplemen. Disebabkan ramai yang terdesak nak kurus, jadi dorang taknak fikir panjang dan nak dapat hasil cepat, terus beli. Diet adalah perkara terpenting dalam proses menguruskan badan, iaitu mempengaruhi sebanyak 80%, lagi 20% adalah senaman. Jadi, kalau tak perlu diet untuk kurus, baik korang tak perlu makan terus.

Penipuan #2 : Tak perlu susah-susah bersenam

Antara penipuan paling dasyat di dunia. Ini yang paling korang nak dengar kan? Makan suplemen ni korang tak payah bersenam pun boleh kurus! Siapa taknak kan? Too good to be true la. Bagi korang yang sangat sibuk dan malas, janji palsu ini buat korang senyum sampai ke telinga. Senang kerja, minum suplemen, kurus. Settle. Memang la malas kalau nak senam, tapi fikir logik la, korang makan banyak masuk dalam badan, tapi senang-senang nak makan suplemen untuk buang apa yang masuk dalam badan. Percayalah apa yang keluar daripada badan korang dengan percuma adalah tahi. Ramai sangat yang mudah percaya, dan penjual pula keluarkan testimoni palsu hanya nak buat duit. Turun berat 5kg dalam seminggu tanpa bersenam? Gila. Cuba la senam okay. Minimun 2-3 kali seminggu. Kalau korang nak senam seminggu sekali, maybe korang juga patut makan seminggu sekali. Boleh? Kalau malas bersenam, jangan harap nak kurus. Titik.

 

Penipuan #3 : Boleh meningkatkan metabolisma badan korang

Apabila pengeluar-pengeluar suplemen mula menambahkan bahan tambahan iaitu Ephedra ke dalam produk kuruskan badan ni, mereka mula mendakwa ia boleh meningkatkan metabolisma badan anda. Namun, disebabkan bimbangkan kesan sampingan bahan itu, Food and Drugs Administration (FDA) telah mengharamkan bahan ini pada tahun 2004. Disebabkan pengharaman itu, pengeluar-pengeluar mula mencari alternatif lain untuk ditambah ke dalam produk mereka, seperti teh hijau, kafein dan juga synephrine. Namun menurut kajian, tiada apa-apa bukti yang menunjukkan bahan-bahan ini dapat mengurangkan berat atau menguruskan badan. Jadi kalau korang ada terbaca atau terjumpa kopi atau teh yang boleh buatkan kurus, jangan sesekali percaya. Ya memang sangat tertarik, sebab siapa yang taknak benda mudah kan? Tapi anda hanya akan tahu itu hanyalah sandiwara, bila korang dah cuba dan tertipu.

 

Penipuan #4 : Buatkan korang rasa kenyang

Mesti korang fikir, makan suplemen ni boleh buatkan korang kenyang, so korang tak payah makan nasi lagi, so boleh kurus, betul tak? Korang hanya sedapkan hati korang je bila fikir macam tu. Jangan tipu. Sangatlah tak benar dengan hanya minum suplemen boleh buat korang kenyang.Yang bagi korang kenyang adalah protein, serat dan lemak, bukannya suplemen. Cuba tengok pada sachet atau kotak, apa yang terkandung dalam suplemen itu. Korang tak akan dapat survive seharian dengan hanya minum supplemen. Macam mana korang nak lakukan aktiviti harian kalau kurang makan nasi? Berapa lama sangat korang boleh tahan? Cara untuk selesaikan adalah jaga dan kawal makan, bukan dengan hanya ambil suplemen. Purata kalori yang perlu diambil oleh lelaki dalam sehari adalah 2,500 kcal dan bagi wanita pula 2,000 kcal.

 

Penipuan #5 : Menghalang penyerapan karbohidrat

Memang antara penyebab mudah menjadi gemuk atau berat bertambah adalah disebabkan pengambilan karbohidrat berlebihan, seperti nasi, roti dan sebagainya. Jadi, dengan kurang ambil karbohidrat dan gantikan dengan nutrisi lain seperti protein dan serat adalah cara yang amat berkesan.Tapi untuk ambil suplemen yang boleh sekat karbohidrat adalah satu benda yang tak bijak kerana tak ada kajian yang membuktikannya berkesan. Satu kajian semula telah diterbitkan oleh British Journal of Nutrition mengenai kebekesanan dakwaan ini, yang mana mengambil satu bahan yang dikatakan boleh menghalang penyerapan karbohidrat iaitu ekstrak kacang. Keputusan menunjukkan bahan ini, sama seperti bahan-bahan penghalang karbohidrat yang lain, hanya menghalang sebahagian enzim pencernaan karbohidrat, dan bukan karbohidrat itu sendiri.Apa yang perlu anda lakukan sebenarnya mengawal nafsu makan anda jika mahu kurus, kerana itu adalah yang paling berkesan.Jadilah pengguna yang bijak.

Kredit: Iluminasi.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *