Sering Diejek Gila Kerana Cuba Menghasilkan Elektrik, Namun Percubaannya Berjaya Dan Menghasilkan Pembaharuan Dikampungnya!

Di sebuah perkampungan di pedalaman Indonesia, kira-kira 600 pemilik rumah menikmati sumber elektrik percuma atau sekurang-kurangnya pada harga paling murah jika mampu, ataupun sekadar membayar dengan 10 biji telur.

Semua penduduk kampung itu bersyukur dengan usaha tanpa putus asa seorang petani yang akhirnya membawa cahaya ke rumah mereka.

Awalnya, percubaan petani berusia 48 tahun bernama Rasid diketawakan sebagai “gila” dan “sia-sia” apabila mereka tidak melihat sebarang kemajuan selain gagal 2 kali dalam percubaannya menghasilkan elektrik.

Lebih buruk lagi, dia cedera teruk sehingga nyawanya hampir melayang dalam percubaan itu. Siapa yang tidak fikir ia kerja orang bodoh, bukan?

Tetapi usaha dan keyakinan lelaki ini melangkaui segala ejekan dan “pandang rendah” malah dia balas dengan berbuat baik kepada penduduk kampungnya, menawarkan kemudahan elektrik percuma.

Channel News Asia merungkai kisah lelaki tabah, “hero tenaga elektrik” sehingga syarikat tenaga berlumba-lumba membeli teknologinya, tetapi ditolak kerana dia tidak mahu menjadi bodoh.

“Kalau saya jual, saya boleh bikin duit yang banyak. Tetapi saya akan jadi bodoh kerana tak perlu fikir mengenainya lagi. Kalau saya tidak menjual saya akan terus berfikir untuk memperbaharui dan menawarkan yang lebih baik, saya tidak akan jadi bodoh,” katanya kepada portal berita itu.

Rasid dilahirkan di Audungbiru, sebuah kampung di lereng gunung Gunung Argopuro, sebuah gunung berapi di Jawa Timur.

Dia suka belajar, pergi balik ke sekolah yang jauhnya kira-kira 6 km, sejam pergi, sejam pulang, tiba di rumah hanya berbekalkan lampu minyak untuk membuat kerja sekolah dan membaca al-Quran di rumah.

“Cahaya minyak tanah memenatkan mata dan bila angin kencang, menandakan saya kena tutup buku. Tunggu hari berikutnya mengharapkan matahari terbit,” katanya.

Rasid tidak mahu kanak-kanak di kampungnya melalui persekitaran sedemikian, dia mahu mereka belajar dan mencapai cita-cita mereka.

Pada 1992, Rasid berpeluang melawat ladang pakciknya yang menggunakan kemudahan kincir air untuk menjana elektrik.

Ia jauh lebih berteknologi, menggunakan logam dan pembinaan yang kompleks, Rasid cuba memahami fungsi dan menghafal strukturnya. Di memasang hajat untuk membina kincir air yang menjana elektrik untuk kampungnya.

Berbekalkan pengetahuan asas kejuruteraan elektrik ketika belajar di sekolah vokasional di bandar dekat kampungnya, Probolinggo usaha Rasid bermula.

Rasid berdepan beberapa kemalangan kecil dan hampir meragut nyawa disebabkan ketiadaan kawalan keselamatan.

Apapun dia kembali kerana tanggungjawabnya untuk membantu dan membimbing penduduk kampung hidup dengan kemudahan elektrik.

Bagi penduduk kampung, Rasid lebih daripada seorang hero, dia seorang pejuang.

Kerana dialah mereka semua ada lampu di rumah, peti sejuk untuk mengekalkan kesegaran makanan dan set televisyen untuk hiburan dan mendapatkan maklumat.

“Saya pernah fikir ia adalah hampir mustahil. Bagaimana air dapat mengubah kayu dan menghasilkan tenaga elektrik,” petik kata Ustaz guru sekolah agama, Saiful Ilham yang terpegun dengan usaha Rasid kepada portal itu.

Kini, sekolahnya berfungsi lancar, kanak-kanak dapat belajar dengan selesa dan lebih lama, semuanya kerana Rasid.

Lelaki ini juga menawarkan elektrik secara percuma untuk semua kenduri-kendara di kampung, majlis suka atau duka di samping institusi komuniti seperti masjid, klinik dan sekolah.

Menghadapi pelbagai kesukaran dan cabaran sepanjang membina kincir air, Rasid tak pernah jemu untuk mengubah, memperbaiki, mengembangkan dan memperbaharuinya.

Pada 1999 misalnya, dia belajar mengenai taknologi kuasa hidro dan tentu sekali, semua itu memerlukan dana.

Rasid menjual 2 lembunya, hartanya, bermacam lagi semata-mata memberikan tenaga elektrik yang lebih baik dan efisien, pada kadar paling murah, AS$0.50 (RM1.95) sebulan.

Isteri Rasid, Sulyani pernah bertanya keperluan dia berbuat demikian, sehingga sanggup mejual harta benda. “Ada apa untuk anak-anak kita nanti,” soalnya.

“Jangan risau, anak kita akan direstui,” kata Rasid seperti yang dipetik wawancara itu.

Tatkala dia sedang membina dan memperluaskan usahanya, datang syarikat tenaga letrik milik Indonesia, Perusahaan Listrik Negara (PLN) menawarkan tenaga kepada seluruh kampung itu.

Ia tidak mengoncang usaha dan niat Rasid walaupun persepsi penduduk berubah dengan berpihak kepada PLN, tetapi ia hanya bertahan untuk seketika.

Berbanding harga murah yang ditawarkan Rasid selain percuma untuk upacara, PLN pula mengenakan bayaran 6 kali ganda, iaitu AS$30 (RM117) sebulan.

Lebih teruk, tawarannya tidak konsisten, selalunya sahaja ada masalah elektrik terputus.

Rasid tak mahu menjual teknologinya kepada mana-mana syarikat komersial, dia tidak mahu meniagakan khidmatnya, malah dia hanya mahu membantu untuk kebaikan orang, penduduk kampung.

Rasid terus merancang untuk membaiki dan memperbaharui selain mengembangkan khidmatnya supaya lebih ramai yang bermanfaat hasil tenaga elektrik percuma.

Sumber – MyIslamInfo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *