Jamah Gulai Lemak Batang Keladi Untuk Makan Tengahari, Namun Satu Keluarga Hampir Maut!

Sayur kampung seperti gulai kedai memang sedap dimakan, tapi awas jika tersalah pilih keladi boleh mengundang maut.Muntah, tekak terasa panas, mata kemerahan dan berair adalah antara simptom dialami tiga sekeluarga selepas makan gulai keladi yang dipercayai beracun, sehingga menyebabkan mereka dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah baru-baru ini.

Siti Aida Mohamad, 40, dan anak sulungnya Nor Shamira Jamal, 20, serta anak saudara, Zulfakar Norizam, 18, nyaris maut sekiranya gagal mendapatkan rawatan segera.

Menceritakan kejadian berlaku jam 11 pagi pada Ahad lalu, Siti Aida berkata, dia mengambil pokok keladi itu di belakang rumahnya di Kampung Lonek, Kepis Hilir di sini, sebelum dibersihkan dan dimasak gulai.Setelah siap dimasak, beliau bersama anak dan anak saudaranya menjamah gulai keladi untuk hidangan tengah hari.

“Sebaik siap, saya menghidangkannya dan kami makan tengah hari bersama. Secara tiba-tiba Nor Shamira berlari ke bilik air dan muntah sebelum memberitahu tekaknya terasa panas.

“Tidak lama kemudian, saya dan anak saudara pula muntah dan mengalami simptom sama. Lebih memeritkan mata kami pedih dan bertukar kemerahan selain air liur meleleh,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, hari ini.

Siti Aida berkata, suaminya yang pulang tidak lama selepas kejadian, segera menghantar mereka ke HTAN untuk rawatan lanjut sebelum dia dan anaknya dibenarkan pulang semalam, manakala anak saudaranya masih menerima rawatan di hospital.

Boleh Bawa Maut

Menurutnya, doktor memaklumkan simptom dialami mereka berkemungkinan disebabkan termakan keladi liar beracun yang boleh membawa maut sekiranya terlambat menerima rawatan.

“Menurut doktor, jika kami lewat beberapa minit, ia boleh membawa maut kerana kami mengalami alergi yang sangat teruk.

“Doktor juga tidak menolak kemungkinan dipercayai berpunca dari gulai keladi kerana kami mengalami simptom itu secara serentak.

“Saya memang bersyukur kerana telah kembali pulih. Saya serta anak dibenarkan pulang semalam (kelmarin) tetapi anak saudara masih lagi dirawat,” katanya.

Pada kebiasaannya, suami Siti Aida, Jamal Ahmad, 50, berkata, keluarganya sering mengambil keladi itu di tepi rumahnya untuk buat lauk. Berikutan kejadian itu, dia memusnahkan semua pokok keladi di belakang rumahnya bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

“Saya menanam keladi di belakang rumah sejak enam tahun lalu, namun tidak pernah berlaku kejadian seperti itu. Saya percaya ada keladi liar tumbuh berhampiran dan isteri saya tidak sengaja mengambilnya untuk dimasak,” katanya.

“Mungkin disebabkan rupa keladi ini seakan sama, menyebabkan isteri tak dapat membezakannya lalu dijadikan lauk,” katanya.

“Kami pun tak tahu ada keladi liar yang tumbuh berhampiran keladi biasa. Bila dilihat bezanya, batang keladi liar terdapat corak bintik-bintik berwarna coklat. Terdapat lebih empat rumpun keladi liar tumbuh di sini.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Dr Zainudin Mohd Ali, berkata pihaknya perlu menjalankan pemeriksaan dan rawatan terperinci sebelum dapat mengesahkan simptom dialami mangsa disebabkan oleh keladi.

Bagaimanapun, beliau mengesahkan ada pokok keladi yang tidak boleh dimakan kerana mempunyai kandungan toksin tinggi yang boleh membahayakan nyawa terutama golongan warga emas, wanita mengandung dan kanak-kanak.

#Nota: Oleh itu,kita hendaklah berhati-hati didalam memilih makanan terutamanya makanan yang daripada tumbuhan-tumbuhan yang liar.

Hal ini bukan sahaja akan terjadi jika memakan keladi sahaja,tetapi banyak lagi tumbuhan yang kita rasa tidak beracun tetapi ada yang spesis beracun. Sebagai contoh cendawan beracun,ubi beracun dan banyak lagi.Semoga perkara ini dijauhi daripada menimpa kita.

Sumber – Suara Media

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *