Lina Medina, Menjadi Ibu Paling Muda Di Dunia Ketika Berumur 5 Tahun!

Pada awal musim bunga tahun 1939, Lina Medina yang tinggal di sebuah kampung di Peru telah dibawa oleh ibubapanya ke hospital Lima. Perut Medina membusung sejak beberapa bulan, sehingga menimbulkan kebimbangan keluarganya.

Setelah diperiksa, doktor sangat terkejut apabila mendapati Medina sebenarnya sedang mengandung tujuh bulan. Keluarganya juga seakan tidak percaya, mana mungkin kanak-kanak berusia lima tahun boleh mengandung!

Tetapi itulah kenyataannya apabila pada 14 Mei 1939, ketika umur Medina baru menjangkau lima tahun tujuh bulan, dia sudah menjadi ibu, malah diiktiraf sebagai ibu paling muda dalam sejarah manusia!

 

Kejadian ini telah menggemparkan dunia. Bagi pakar pediatrik, kes Medina ini dikenali sebagai ‘precocious puberty’ di mana tubuh seseorang kanak-kanak itu mencapai akhil baligh sebelum mencecah 8 tahun.

Bagaimanapun, kes ini sangat jarang terjadi, iaitu 1 daripada 10,000 kanak-kanak mengalami keadaan ini. Biasanya kanak-kanak perempuan mempunyai kebarangkalian 10 kali lebih tinggi mengalaminya berbanding kanak-kanak lelaki.

Menurut keluarganya, Medina mula datang bulan ketika berumur tiga tahun. Pemeriksaan doktor juga mendapati walaupun baru berumur lima tahun, tubuh Medina sudah menunjukkan kematangan sama seperti wanita dewasa.

Buah dadanya sudah membesar, memiliki bulu kemaluan dan punggung yang lebih besar berbanding kanak-kanak perempuan sebayanya.

Ketika melahirkan anaknya, Medina terpaksa melalui proses caesarean. Ini kerana saiz badan yang kecil tidak membolehkan Medina melahirkan bayi lelakinya yang seberat enam pound secara normal.

Bayi lelakinya dinamakan Gerardo dan membesar dengan normal. Pada mulanya dia menyangka Medina adalah kakaknya. Apabila meningkat remaja barulah dia mengetahui perkara yang sebenar.

Semasa usia Medina meningkat remaja, dia bekerja sebagai setiausaha kepada doktor tempat dia melahirkan Gerardo. Dengan upah itulah dia membiayai kos persekolahan mereka berdua.

Pada tahun 1970, Medina berkahwin dengan Raul dan melahirkan anak kedua ketika dia berusia 39 tahun. Gerardo meninggal dunia pada tahun 1979 akibat penyakit biasa. Sementara itu Medina yang kini sudah berusia 83 tahun masih hidup bersama Raul dalam sebuah kejiranan miskin di Lima, Peru.

Sehingga hari ini Medina tidak pernah mendedahkan siapa bapa kandung Gerardo. Polis pernah mengesyaki Tiburelo iaitu ayah Medina sebagai orang yang bertanggungjawab menghamilkannya. Tetapi Tiburelo dibebaskan akibat kekurangan bukti.

Sumber – Ceritera Dunia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *