Saya Bukan Orang Baik-Baik, Patutkah Saya Berkongsi Cerita?

 

Seorang pembaca wanita menghantar PM pada saya.

Dengan izin beliau, saya kongsi sedikit ceritanya tanpa menyebut nama.

Beliau berminat mahu menulis dan berkongsi kisahnya sebagai pemandu teksi wanita. Semangatnya bertambah selepas membaca buku Aku, Dia Dan Rezeki tulisan Abang Long.

“Menarik!” kata saya. “Saya percaya banyak cerita inspirasi kehidupan yang Puan boleh kongsikan.”

“Memang banyak, Puan. Dan memang banyak yang saya nak tulis. Tapi saya risau orang mengata. Terutamanya kawan-kawan dan saudara mara saya. Iyalah, saya ni pun bukannya baik sangat. Nak tulis pula cerita baik-baik. Macam tak sesuai saja,” luahnya.

“Kita semua ni tak ada seorang pun yang betul-betul baik, puan. Tapi itu tak bermakna yang kita tak layak menyebarkan kebaikan pada orang lain,” saya cuba memujuk.

Asal Orang Senang

“Puan, saya bawa teksi dah tiga tahun lebih. Macam-macam kisah dan perangai manusia saya saksikan dalam teksi saya ni. Saya setuju dengan puan yang manusia ni tak ada yang sempurna baik.”

Saya hantar icon senyum, tanda saya sedang tersenyum.

“Tapi puan, setiap kali nak menulis, tangan saya jadi kaku. Saya terkenang diri sendiri. Nak cerita pasal orang, saya sendiri banyak cerita tak baik. Nak nasihat orang, saya sendiri sampai sekarang masih tak betul. Kalau puan tak keberatan, saya nak share sikit kisah hidup saya dengan puan.”

“Silakan, puan. Puan tulis saja. Saya akan baca,” balas saya.

“Saya ni asal orang senang. Keluarga kaya raya. Ayah saya pegang jawatan besar dalam sebuah syarikat besar. Mak saya pula businesswoman. Saya dua beradik je. Adik saya jauh lebih baik daripada saya. Sebab tu mak ayah saya lebih harapkan dia daripada saya. Saya ni boleh dikatakan anak derhaka. Cakap mak ayah langsung tak nak dengar. Tak nak sekolah. Melepak dengan budak-budak bukan-bukan. Masuk lokap berapa kali dah. Saya ni mujur tak hisap dadah saja. Tapi geng-geng saya ramai mat-mat dan minah-minah dadah ni. Saya fikir masa tu harta mak ayah saya nanti dapat kat saya juga.”

Ok… Saya sedikit sesak nafas membacanya.

“Saya kahwin lari. Elok saya habis pantang anak keempat, suami saya pula lari entah ke mana. Tinggalkan nota selamat tinggal untuk saya. Dah empat tahun digantung tak bertali. Saya bawa kes ni ke mahkamah, sangkut juga. Yang buatkan jiwa saya lebih menderita, anak-anak saya semua dah nampak sikap melawan macam saya dulu walaupun diorang kecil lagi. Terutamanya anak sulung dan kedua. Tapi saya rasa malu nak tegur diorang. Saya percaya ini balasan untuk saya.”

Saya masih tidak menjawab dan tidak bertanya umur anak-anaknya.

“Beberapa tahun lepas, mak ayah saya meninggal dunia. Kemalangan. Lepas tu adik saya terus ambil keputusan berhijrah ke Mekah dan tinggal di sana. Suami dia buat bisnes di Mekah. Bisnes arwah mak pula, partner mak ambil alih. Ada diorang wasiatkan beberapa harta pada saya dan adik. Yang adik saya, dia wakaf dan sedekahkan semua tinggalan tu. Yang saya pula… satu-satu habis… susah betul hidup saya rasanya. Ini, saya bawa teksi pun sebab nak cari duit. Anak-anak dah makin besar. Nak masuk sekolah lagi. Macam-macam belanja nak kena keluar.”

Allah Maha Pengampun

“Hidup saya memang susah, puan. Untungnya saya, Allah masih sayangkan saya. Adik saya tak pernah pinggirkan saya. Partner bisnes arwah mak pun sangat baik. Cuma saya saja yang malu dengan diorang. Seboleh mungkin saya elakkan daripada minta tolong diorang. Saya anggap, ini semua balasan Allah pada saya. Saya pernah dengar ustaz cakap, setiap kesusahan kita kat dunia ni, mungkin antara balasan atas kesilapan-kesilapan kita. Itu bukan bermakna Allah tak sayang kita, sebaliknya bila Allah beri balasan macam tu, kita akan kembali ingat Allah, sekali gus bertaubat atas dosa-dosa kita …”

Saya hanya menjawab, “Benar, puan… Allah Maha Kasih. Allah Maha Pengampun.”

“Macam itulah, Puan. Saya buka pekung saya ni. Malu sebenarnya ni. Tapi itulah. Saya nak bagitau yang saya ni teringin nak menulis cerita-cerita pelanggan teksi saya ni. Cerita baik-baiklah. Saya minat menulis. Tapi saya malu. Bukan malu dengan orang lain. Malu dengan diri sendiri. Bila baca buku-buku macam tu, jadi bersemangat nak kongsi. Tapi bila kenangkan cerita diri sendiri, memang sampai bila-bila saya tak kan menulis.”

Saya melepaskan nafas panjang. Dah tentulah beliau tak dengar. Saya hantar icon senyum sekali lagi.

Kita Sama Sahaja

“Puan aktif di FB? Mungkin saya boleh berkampung di wall puan nanti.” Itu antara respon yang mampu saya bagi.

“Tak aktif sangat, puan. Bawa teksi ni mana ada masa nak buka FB sangat. Ini pun sebab saya ambil cuti. Anak yang sulung buat hal kat sekolah. FB ni pun adik yang bukakan untuk saya.”

“Puan, kita akan berhubung lagi, insyaAllah. Jangan patah semangat. Kita semua sama saja. Kalaulah semua orang malu nak menulis dan berkongsi perkara-perkara baik sebab rasa diri tak baik, mungkin kita tak akan dapat langsung baca buku-buku dan tulisan yang baik-baik. Malah, mungkin kita tak akan dengar pun perkara yang baik-baik,” itu antara respon saya.

Beliau hantar icon senyum. “Saya setuju, puan…”

Selalu kita jumpa kisah-kisah macam ni. Kisah ‘malu’ nak berkongsi dan tunjukkan kebaikan sebab merasakan diri tak baik. Kadang-kadang, orang keliling pun buatkan kita rasa diri kita ni bertambah-tambah tak baik. Diminta kita menjadi sempurna dan mengukuhkan apa yang kita sedang usahakan sebelum berkongsi pengalaman dan sedikit ilmu yang kita ada. Mereka mahukan bukti; bukti yang masih belum pasti kita mampu beri atau tidak walaupun kita berusaha kuat untuk membuktikannya.

Manusia ni fitrahnya putih. Kita semua lahir dalam kebaikan dan sukakan kebaikan. Betul, iman kita senipis kulit bawang. Tak pernah ada seorang manusia pun yang terlepas daripada kesilapan, dan biasanya kesilapan itu akan menjadi pengajaran berharga bagi mereka, dengan hidayah dan kasih sayang Allah.

Lumrahnya juga kita mudah mengadili orang lain. Seolah-olah, si jahat akan kekal jahat dan si baik sepatutnya kena selalu baik. Mungkin atas sebab itulah ramai yang segan dan malu nak berkongsi perkara baik-baik.

“Anehnya manusia, lebih bimbang diejek ketika berbuat baik, berbanding ketika berbuat jahat. Anehnya manusia, tidak malu menyebarkan aib dan bersungguh-sungguh menyembunyikan yang baik.”

Semoga keyakinannya untuk menulis perkara-perkara kebaikan akan bertambah naik. Semoga kita sendiri tidak malu-malu lagi berkongsi apa saja perkara baik dan membuang jauh-jauh sikap menyebarkan yang aib.

Kita tak tahu apa-apa tentang kisah hidup orang lain, kan? Allah saja yang Maha Tahu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *