Anak-Anak Bergaduh Dengan Jiran, Ibu Bapa Masuk Campur Acu Pedang Samurai!

Polis sudah memanggil dua keluarga yang bergaduh di sebuah kawasan perumahan di Paka, hari ini, selepas insiden itu tular di laman sosial sejak dua hari lalu.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah berkata, seorang ahli keluarga terbabit menyerahkan sebilah pedang samurai di Balai Polis Paka, kira-kira jam 4 petang tadi.

Menurutnya, pedang samurai itu senjata yang digunakan dalam insiden pergaduhan terbabit.

“Kertas siasatan berhubung kes sudah dibuka dan mereka yang terbabit boleh dikenakan tindakan. Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 7 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berjadual,” katanya.

Video berdurasi 1.34 minit yang memaparkan pergaduhan antara dua keluarga termasuk ugutan menggunakan senjata dipercayai pedang samurai tular di Facebook sejak dua hari lalu.

Insiden itu memaparkan pertengkaran di antara dua keluarga dipercayai berpunca daripada pergaduhan anak-anak membawa kepada campur tangan ibu bapa.

Video itu dimuat naik oleh seorang pengguna laman sosial dan kemudiannya dikongsi sehingga mendapat reaksi negatif netizen yang menganggap perkara sedemikian amat memalukan.

Anak-anak Bergaduh, Mak Bapak Masuk Campur Bawa Samurai

Siap samurai lagi..Kejadian di paka katanya..

Viral di media sosial video pergaduhan di antara dua jiran di sebuah perumahan di Paka, Terengganu sehingga melibatkan senjata pedang samurai mengundang pelbagai reaksi netizen.

Difahamkan, berlaku pertengkaran mulut di antara anak-anak saudara pengadu dengan anak-anak jirannya yang kemudian melaporkan kejadian itu kepada ibu bapa mereka.

Berdasarkan video, bapa kepada kanak-kanak perempuan terbabit tampil berdepan dengan pengadu yang merakam video tersebut dan kedua-duanya bertikam lidah dan saling menuding jari.

Situasi menjadi semakin tegang apabila dua anak perempuan lelaki terbabit gagal mengawal diri lalu bertindak biadab dengan memperlekehkan pengadu dan seorang lagi wanita yang dipercayai ibu kepada pengadu.

Sesekali kanak-kanak perempuan berbaju biru itu cuba menyerang kanak-kanak lelaki yang dipercayai anak jirannya itu, namun dilepaskan selepas ditegah pengadu.

Seketika kemudian kelihatan isteri lelaki terbabit datang membawa pedang samurai dan mengacu tepat ke arah ibu pengadu dan mengancam mencederakannya sebelum ditegah oleh suaminya.

Sekeluarga itu kemudian beredar namun dua anak perempuannya masih memperlekehkan pengadu yang ternyata tidak menghormati orang dewasa.

Difahamkan juga, pengadu telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, netizen mengecam sekeluarga terbabit yang tidak faham erti hidup berjiran sehingga tercetusnya kejadian yang tidak diingini. Malah turut mempersoalkan bagaimana mereka mengajar dua anak perempuan mereka yang berkelakuan tidak senonoh seperti itu.

Selain itu, netizen juga menggesa pihak berkuasa menyiasat kejadian itu dan mengambil tindakan terhadap keluarga terbabit yang memiliki senjata tajam yang bimbang akan disalahgunakan untuk mengancam keselamatan para penduduk yang lain di kawasan perumahan berkenaan.

Sumber – Bicara Islam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *