Gara-Gara Penutup Longkang.. Litar Antarabangsa Sepang Berkemungkinan Terpaksa Membayar Gantirugi RM 1.24 juta!!

SEPANG: Satu kemalangan pelik yang membabitkan penutup longkang di Selekoh 13 menyaksikan Romain Grosjean ditimpa nasib malang pada sesi latihan bebas kedua saingan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Malaysia PETRONAS, hari ini.

Pemandu Haas itu terlanggar penutup longkang yang sebelum itu terlebih dulu dilanggar Valtteri Bottas dari pasukan Mercedes AMG PETRONAS dan menyebabkan tayar kanan belakang jentera dipandunya meletup.

Grosjean hilang kawalan dan terbabas di penghadang litar kira-kira pada baki 10 minit terakhir sesi latihan yang kemudiannya dikibarkan bendera merah sebelum diputuskan untuk tidak diteruskan.

Pemandu dari Perancis itu berkata, dia sama sekali tidak mengetahui apa yang berlaku dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Dia berjaya menamatkan sesi latihan dengan catatan satu minit 34.118 saat untuk berada di tangga ke-17 terpantas.

“Saya okey, itu yang paling penting dan kami akan membaiki jentera dan menyelesaikan beberapa masalah yang timbul,” kata Grosjean.

“Harap kami masih mampu menemui pelarasan jentara yang baik esok (hari ini), menemui prestasi yang baik dan penutup longkang berada di kedudukan yang selamat.”

Boss pasukan Haas, Guenther Steiner dalam pada itu jelas tidak gembira dan berang dengan kejadian yang berlaku ketika sesi sidang media.

“Bagi pendapat saya, perkara seperti ini tidak seharusnya berlaku dalam sirkit yang tetap, ia sama sekali tidak boleh diterima dan tidak memenuhi standard,” kata Steiner.

“Kita perlu memastikan perkara ini tidak lagi berlaku dalam perlumbaan kerana ia akan menjadi satu malapetaka.

“Saya masih tidak pasti apa yang sebenarnya berlaku, harap dalam tempoh beberapa jam selepas ini kami dapat mengetahui lebih lanjut.

“Kerosakan itu sangat besar, kami tidak tahu berapa banyak kerosakan yang berlaku setakat ini.”

Selain daripada sesi latihan, perlumbaan sokongan Formula 4 Asia Tenggara juga menerima nasib sama apabila ia juga terpaksa dihentikan kerana insiden berkenaan.

Sumber: BH Online via MalaysiaBolehBro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *